SEBARANG
isu kewangan dan pemberian wang membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK)
Cameron Highlands akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM).
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata,
pihaknya sudah mengadakan mesyuarat beberapa hari lalu bagi
membincangkan berhubung isu berkenaan.
“Isu
membabitkan kewangan akan disiasat oleh SPRM. Polis hanya memberi
tumpuan dan penekanan terhadap isu yang membabitkan keselamatan.
“Setakat
ini, keseluruhan proses PRK (Cameron Highlands) berkenaan berjalan
lancar,” katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat dan
serah terima tugas Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Datuk T
Narenasagaran.
Pada majlis itu, Narenasagaran menyerahkan tugas kepada Datuk Nerita Yaacob yang menggantikannya berkuat kuasa esok.
Narenasagaran akan menjadi Ketua Polis Pulau Pinang menggantikan Datuk A Thaiveegan yang bersara wajib.
Mengulas
lanjut, Muhammad Fuzi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima
sebarang laporan polis berhubung isu yang ditularkan.
“Buat masa ini kita (polis) akan terus memantau sehingga PRK itu tamat kelak,” katanya.
Terdahulu,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan mana-mana pihak yang
mempunyai bukti dan melihat secara langsung aktiviti politik wang ketika
kempen PRK Cameron Highlands membuat laporan polis.
Kenyataan itu
dikeluarkan susulan penularan gambar seorang wanita yang memakai baju
berlogo PH memberi wang kepada beberapa pemuda yang memakai baju sama.
Bagaimanapun,
PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar yang tular di media sosial
adalah pembayaran balik penampungan kos petrol kepada
sukarelawan-sukarelawan mereka. Baca berita selanjutnya di Harian Metro
0 comments:
Post a Comment