liza rasa sungguh sedih dengan kejadian kemalangan pada 29 Mei yang lepas. Dimana sebuah lori treler yang dipandu laju merempuh kenderaan yang sedang membayar tol di tol plaza Hutan Kampung di Lebuh Raya Utara-Selatan. Ini menyebabkan 8 kematian.
Isskk.. cuba bayangkan anda sedang menunggu untuk membayar tol tanpa disedari ada treler melanggar dari belakang sedang anda berada ditengah-tengah barisan. Mungkin perkataan yang keluar hanya Ya Allah sahaja..
Sungguh-sungguh tragik sekali..Disini liza ingin mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa-mangsa kemalangan tersebut. Semoga Allah memberi rahmat kepada mereka. Amin
Dari kejadian ini liza dapat merumuskan beberapa perkara. Diantaranya :
1. Jangan sesekali ambil lorong paling kiri sekali untuk membayar tol kerana lorong biasanya
untuk kenderaan yang berat seperti treler, bas, lori dan sebagainya. Kalau boleh pilih yang
lorong yang lain.
2. Pihak Plus (etc) mesti mengadakan lorong yang lebih banyak untuk memudahkan orang
ramai membayar tol.
3. Mengalihkan atau mengubahsuai plaza tol yang menurun bukit seperti di plaza tol hutan
kampung supaya kurang menurun.
Berikut adalah berita asal
Lori Treler Dipandu Laju - Saksi
ALOR STAR, 29 Mei (Bernama) -- Seorang peniaga melihat sebuah lori treler dipandu laju sebelum merempuh belakang sebuah kereta dan tiga buah kenderaan lain menyebabkan lapan orang terbunuh di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran tol plaza Hutan Kampung dekat sini petang tadi.
Azhar Man, 43, dari Jitra berkata treler yang membawa kontena itu memotong kereta yang dipandunya di sebelah kiri sebelum kemalangan itu berlaku.
"Sebaik sahaja menuruni jejantas Jalan Langgar, saya terlihat kenderaan berbaris panjang sementara lori treler itu masih laju," katanya di Rumah Mayat Hospital Alor Star.
Dalam kemalangan kira-kira 3.50 petang itu, tujuh sekeluarga yang berada di dalam sebuah Proton Iswara maut sementara seorang lagi di dalam sebuah kereta Kancil turut terbunuh.
Tujuh keluarga tersebut ialah Ilias Salleh, 54, anak-anaknya Suraya, 32, Sawiyah, 27, Mohd Azlan, 21, Mohd Hafiz bin Alias, 6 tahun, Nurulizzati binti Alias, 4, kedua-duanya anak Suraya dan Uzma Daniel Syahril, 4, anak kepada Sawiyah.
Seorang lagi yang terbunuh ialah Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra yang menaiki sebuah kereta Kancil yang dipandu anaknya, Umi Syakila Mohd Sobri, 23 tahun.
Menurut Azhar, kemalangan itu berlaku agak pantas walaupun terdetik di hatinya ingin mengejar lori treler tersebut yang sedang melarikan diri.
"Pemandu itu terus keluar dari lorinya dan melompat pagar melarikan diri selepas merempuh Proton Iswara di hadapannya dan turut membabitkan sebuah Kancil yang dinaiki tiga orang, sebuah pacuan empat roda dan sebuah treler lain di hadapan.
"Saya cuba hendak menolong mangsa tetapi tidak terdaya dengan keadaan mereka yang tersepit dalam kenderaan masing-masing termasuk seorang kanak-kanak yang masih hidup," katanya yang mempunyai pertalian dengan salah seorang mangsa.
Katanya kira-kira 15 minit selepas kemalangan, pasukan bomba dan polis tiba untuk memberi bantuan.
Isteri kepada Ilias, Aishah Abdullah, 39, berkata dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas polis menelefonnya kira-kira 7 malam.
Katanya sebelum itu dia menelefon Ilias kira-kira 3.30 petang menyuruhnya membeli beberapa ekor ayam untuk dibuat kenduri dan pada pukul 5 petang dia menelefon sekali lagi tetapi tidak menerima jawapan daripada suaminya.
Menurut Aishah, suaminya pergi ke rumah anaknya Suraya di Kampung Baru, Tasik Gelugor, Sabtu lepas dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Batu 8, Changlun dengan menaiki kereta yang dipandu Sawiyah.
Suami Suraya, Alias Idris, 30, yang bekerja dengan syarikat bas Tanjung Express di Butterworth tidak menyangka nasib malang menimpa keluarganya.
Pasangan itu mempunyai dua anak iaitu Mohd Hafiz dan Nurulizatti sementara adik Suraya, Sawiyah tinggal di Melaka dan sedang bercuti untuk pulang ke kampung.
Ketua Polis Alor Star, ACP Zainal Abidin Kasim berkata pihaknya mengesan anggota keluarga mangsa melalui sim kad telefon mangsa yang remuk.
Bernama difahamkan mayat keluarga berkenaan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Selamat, Tasik Gelugor pagi esok.
-- BERNAMA
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Terima Kasih Diatas Perhatian Anda
To subscribe click here
To visit click http://cybercafe2u.blogspot.com
To Exchange Link email lizeii86@gmail.com
To view more HERE
Get free Traffic here
View The Top Rated Video Here
0 comments:
Post a Comment