PADA 29 Oktober 1996, Institut Kefahaman Islam (IKIM) telah menganjurkan seminar tentang pendermaan organ.
Antara tujuannya ialah untuk memberi penjelasan serta meningkatkan kefahaman tentang kedudukan rawatan pemindahan organ dari sudut pandangan Islam.
Kertas kerja seminar tersebut telah pun dibukukan dan diterbitkan pada tahun 1998 bertujuan untuk menyebarluaskan lagi maklumat dan kefahaman sebenar mengenai perkara ini.
Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya dari menderma organ mereka.
Malah, menderma organ dilihat sebagai satu perbuatan mulia yang dituntut untuk melakukannya.
Penglibatan IKIM dalam hal ini tidak terhenti setakat penganjuran satu seminar dan penerbitan sebuah buku sahaja.
Sebaliknya, pegawai-pegawai IKIM sering kali dijemput oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk sama-sama memberi kesedaran dan kefahaman tentang pemindahan dan pendermaan organ menurut huraian perspektif Islam.
Adalah diharapkan dengan kesedaran baru serta kefahaman sebenar, lebih ramai orang Islam akan tampil untuk menjadi penderma organ.
Sumbangan IKIM dalam perkara ini telah pun diiktiraf apabila pada 8 Oktober 2005, laporan akhbar menyebut bahawa Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam Penderma Organ, Tan Sri Lee Lam Thye yakin dengan pembabitan IKIM.
``Dengan kekerapan IKIM mengadakan ceramah dan kesedaran, jumlah penderma Melayu terus meningkat,'' kata Lam Thye.
Walaupun bilangannya telah meningkat, tetapi peningkatan itu masih belum mencukupi.
Dalam temu bual Mingguan Malaysia dengan Presiden Persatuan Transplantasi Malaysia, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher, didapati bahawa masih belum ramai individu yang tampil untuk menjadi penderma organ.
Untuk tahun 2005, hanya 10 atau 11 orang sahaja yang ke hadapan untuk tujuan mulia ini.
Dari segi angkanya, secara purata Malaysia mempunyai 0.6 penderma bagi setiap sejuta rakyat berbanding sesetengah negara Eropah yang mencatatkan sehingga 30 hingga 35 penderma bagi setiap juta rakyat.
Mengikut wawancara tersebut, tiga unsur yang menjadi punca mengapa orang sukar mendermakan organ mereka ialah unsur budaya, agama dan kekurangan maklumat.
Unsur budaya merujuk kepada sikap masyarakat yang tidak suka mayat sanak-saudara mereka diusik melalui pembedahan.
Faktor agama merujuk kepada pandangan kononnya agama melarang pemindahan organ. Akhirnya, unsur kekurangan maklumat pula merujuk kepada hakikat bahawa ramai yang tidak tahu bahawa pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang sangat berjaya yang boleh membantu pesakit.
Sejauh mana unsur-unsur ini benar dalam menjelaskan masalah kesukaran untuk mendapatkan penderma di negara kita?
Benarkah budaya atau agama atau kekurangan maklumat yang menyebabkan orang ramai begitu liat untuk menderma organ mereka?
Dalam satu kajian awal yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik IKIM ke atas sekumpulan orang Islam pada tahun lalu, penemuan tentang hal ini adalah sesuatu yang agak memeranjatkan, tetapi menarik.
Untuk soalan, ``Sebab enggan menjadi penderma'' berikut adalah jawapan mereka:
Penemuan ini menunjukkan bahawa salah faham agama bukanlah unsur utama yang menghalang orang ramai dari menderma organ mereka. Sebaliknya, unsur utama yang menjadi penghalang ialah rasa takut dan kurang pendedahan.
Satu daripada natijah kajian ini ialah keperluan kepada satu pendekatan baru dalam memberi kefahaman mengenai hal ini.
Sedekad atau dua dekad lalu, unsur agama mungkin merupakan halangan terbesar.
Namun, hasil kerjasama semua pihak dalam memberi kefahaman bahawa semua agama, termasuk Islam menggalakkan hal ini, menyebabkan ia bukan lagi menjadi hambatan. Sebaliknya, penghalang utama menjurus kepada `rasa takut.'
Walaupun kajian ini tidak dapat mengenal pasti dengan lebih mendalam unsur-unsur ketakutan itu, namun, kajian-kajian di masa depan boleh melihat dengan lebih terperinci lagi tentang apakah yang ditakutkan oleh kumpulan-kumpulan ini.
Apakah mereka takutkan pembedahan atau masa hadapan? Misalnya, jika dia mendermakan organnya kepada seseorang dan kemudiannya orang itu menjadi penjenayah, apakah dia takut terpalit dengan dosa-dosa orang tersebut?
Jika ini alasannya, maka jelas bahawa akhirnya ketakutan yang timbul bertitik tolak daripada salah faham agama yang perlu diperbetulkan.
Oleh itu, pendekatan masa hadapan dalam menarik orang ramai untuk menjadi penderma organ perlu menangani kedua-dua unsur ini.
Jika takut adalah masalahnya, kita cuba leraikan ketakutan tersebut. Jika kurang pendedahan menjadi puncanya, kegiatan-kegiatan seumpama ini perlu diperhebatkan dengan menggunakan kaedah yang pelbagai.
Satu lagi penemuan menarik yang penting untuk diketengahkan ialah sebab-sebab ingin menderma secara sukarela.
Jawapan mereka yang diberi borang soal selidik adalah seperti berikut:
Berdasarkan kepada jawapan tersebut, adalah amat penting supaya usaha-usaha untuk menarik penderma mengutamakan maklumat betapa jika mendermakan organ mereka, mereka akan dapat menyelamatkan nyawa orang lain.
Begitu juga, usaha-usaha tersebut perlu menjelaskan bahawa pemindahan dan pendermaan organ tidak mengancam nyawa dan tidak menjejaskan kesihatan.
Semoga penemuan-penemuan ini dapat membuka fikiran kita kepada masalah sebenar yang berlaku dalam masyarakat kini, khususnya dalam masyarakat Islam berhubung dengan pendermaan organ.
Adalah diharapkan supaya pendekatan-pendekatan baru dapat digunakan agar umum benar-benar memahami hal ini dan tampil secara sukarela untuk menjadi penderma organ.
Sumber : http://www.ikim.gov.my
0 comments:
Post a Comment