Sunday, September 21, 2008


Assalamualaikum kita telah berjaya berpuasa selama 21 hari, tinggal lagi 9 hari lagi ramaddan akan meninggalkan kita. Sama-sama kita mencari malam yang lebih baik dari 1000 malam iaitu malam lailatulqadar.

Sila ikuti kisah lailatulqadar dari http://www.islam.gov.my

BAGI umat Islam yang beriman, kedatangan bulan Ramadan amat dinantikan kerana Ramadan menyediakan ganjaran pahala yang besar di mana ia muncul sekali dalam setahun.

Oleh yang demikian, peluang keemasan yang terbuka luas perlu direbut atau diburu kerana riwayat hidup atau jangka hayat kita pada tahun berikutnya tidak pasti sama ada kita berpeluang lagi menghayati dan menikmati rahmat Ramadan yang berkat itu.

Walaupun puasa Ramadan itu sendiri menyediakan pahala yang besar tetapi Allah memperuntukan satu lagi rahmat yang amat hebat di salah satu malam Ramadan iaitu anugerah rahmat Lailatulqadar. Rahmat Lailatulqadar menjanjikan berita baik masa depan riwayat atau jangka hayat seseorang umat Islam yang berpeluang menikmatinya.

Luh Mahfuz dan salasilah Lailatulqadar:

Tidak banyak diketahui tentang Luh Mahfuz. Ulama jarang menghuraikannya kerana barangkali ia adalah urusan alam ghaib atau urusan rahsia Allah. Dalam al-Quran pun, Luh Mahfuz di sebut secara sepintas lalu sahaja tanpa penjelasan lanjut. Sebagai contohnya dalam satu peristiwa yang amat bersejarah ahli tafsir menyatakan Luh Mahfuz disebut berkaitan dengan nuzul al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia) secara sekali gus yang berlaku dalam bulan Ramadan. Allah berfirman (bermaksud) al-Quran itu telah tersimpan di Luh Mahfuz (Al-Buruj: 22).

Menurut Ibn Abbas dan A;-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan terdapat kesepakatan ulama bahawa nuzul Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah berlaku secara sekali gus pada malam Lailatulqadar dalam bulan Ramadan. Tempoh lama al-Quran tersimpan di Luh Mahfuz dan berada di Baitul Izzah tidak diketahui kerana ulama tidak memberi huraian lanjut, mungkin hal ini sebagai persoalan ghaib atau rahsia Allah.

Dengan demikian malam Lailatul Qadar yang diburu oleh kebanyakan umat Islam yang soleh pada sepuluh malam terakhir Ramadan adalah berkaitan Nuzul Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan bukannya permulaan nuzul Quran dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril juga berlaku pada 17 Ramadan yang berlaku 13 tahun sebelum Hijrah.

Lailatul Qadar adalah merujuk kepada suatu malam kemuliaan atau malam yang agong yang penuh dengan keberkatan, malam yang lebih baik daripada seribu bulan bahkan kemungkinan malam anugerah rahmat yang paling besar dalam sejarah hidup setiap orang. Persoalan yang timbul ialah apakah perkaitan peristiwa nuzul Quran di Luh Mahfuz itu dengan malam Lailatulqadar.

Al-Quran merupakan kitab suci umat islam yang di dalamnya mengandungi panduan syumul kehidupan manusia tentang ilmu politik, ekonomi, sosial, akidah dan sebagainya. ajaran-ajaran rasul dan nabi-nabi yang terdahulu turut diserapkan dalam al-Quran. Dengan kehebatan dan keagongan al-Quran itulah maka Allah mengabadikan nuzul Quran sebagai malam Lailatulqadar yang ditentukan berlaku dalam bulan Ramadan.

Allah berfirman maksudnya: Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatulqadar (Al Qadar:1). Seterusnya dalam ayat yang lain Allah berfirman (maksudnya): Malam Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan (Al Qadar: 3). Manakala dalam satu hadis sahih Rasulullah bersabda yang bermaksud: ''Barang siapa yang beribadat pada malam lailatul Qadar kerana didorong keimanan dan keikhlasan, nescaya di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (riwayat: Bukhari, Muzlim, Nasai dan Ahmad).''

Menurut Qurtubi kemuliaan atau anugerah yang dijanjikan dalam rahmat Lailatulqadar ialah pada malam itu Allah menentukan atau mentaqdirkan jangka hayat dan rezeki setiap orang untuk tahun itu sehingga muncul Lailatulqadar pada bulan Ramadan yang akan datang. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan para malaikat turun beramai-ramai secara besar-besaran turun ke dunia untuk turut memuliakan dan meraikan umat Islam yang menerima anugerah rahmat Lailatulqadar itu.

Terdapat pelbagai riwayat mengenai tarikh berlaku anugerah Lailatulqadar. Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah bersabda: ''Berjagalah pada malam Lailatulqadar iaitu malam-malam sepuluh terakhir Ramadan (Riwayat: Bukhari, Ahmad, Muslim, Tirmizi dan Aisyah). Berdasarkan hadis ini, maka kebanyakan ulama berpendapat malam Lailatulqadar terjadi pada malam sepuluh hari terakhir Ramadan. Namun demikian terdapat juga ulama berpendapat malam Lailatulqadar berlaku pada salah satu malam bulan Ramadan, dan ada pula menyatakan pada malam 27 Ramadan. Perbezaan pendapat ulama dalam menentukan malam anugerah Lailatulqadar sebenarnya memberi rahmat yang besar kepada umat Islam. Dengan demikian, umat Islam tidak boleh memburu rahmat anugerah lailatul Qadar secara teka teki, serkap jarang atau dengan tangkap muat sahaja dalam usaha mencari untung nasib rahmat Lailatulqadar. Wal hasilnya malam anugerah Lailatulqadar adalah milik orang salih atau ahli-ahli ibadat yang secara maraton dan konsisten melakukan ibadat dan mengabadikan diri kepada Allah pada sepanjang masa.

Dalam ibadat sembahyang, Allah memberi jaminan kepada umat Islam, firmannya (bermaksud) ''Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusu' dalam sembahyangnya'' (Al Mu'minuum: 1). Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda (bermaksud) ''Ramai orang yang mendirikan sembahyang tetapi hasilnya ialah penat dan lelah sahaja''. (Riwayat: Ibn Majah). Manakala dalam ibadat puasa pula, Rasulullah telah memberi peringatan sabdanya (bermaksud) ''Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga sahajalah''. (Riwayat: Ibn Majah dan Nasai). Berdasarkan keterangan ayat al-Quran dan hadis, ternyata suruhan Allah dan gesaan Rasulullah meminta umat Islam melaksanakan ibadat kepada allah hendaklah dibuat secara ikhlas dan penuh keimanan atau dengan kata lain amal ibadat yang mempunyai kualiti tinggi.

Kualiti diertikan sebagai bermutu atau bernilai. Maka dalam kontek ini puasa yang berkualiti adalah merujuk kepada amalan puasa bermutu tinggi yang memenuhi kehendak Allah di manan memberi pulangan pahala yang maksima atau ibadat puasa yang dibuat secara ikhlas dan penuh keimanan. Persoalan yang timbul ialah apakah faktor seseorang itu mempunyai kualiti puasa yang rendah atau dhaif. Keadaan ini berlaku kerana:

* Tidak memahami matlamat beribadat kepada Allah;

* Berpuasa sebagai mengambil kesempatan menjaga kesihatan semata-mata;

* Tidak berpegang teguh dengan disiplin puasa kerana ibadat-ibadat yang lain pun dibuat sebagai melepas batuk di tangga sahaja; dan

* Mempunyai iman yang lemah kerana menganggap diri mereka sebagai orang awam sahaja.

Imam Ghazali pada zamannya telah membuat pemerhatian dan penyelidikan mengkaji tahap atau mertabat puasa yang diamalkan oleh umat Islam. Beliau menyatakan tahap itu terbahagi kepada tiga:

* Puasa umum;

* Puasa khusus; dan

* Puasa istimewa.

Puasa umum adalah merujuk darihal puasa yang dibuat semata-mata menahan makan, minum dan menjauhi perhubungan kelamin pada siang hari. Dengan kata lain, mereka kelihatan berpuasa tetapi tidak memperolehi pahala kerana mereka tidak memelihara adab-adab berpuasa. Apa yang mereka perolehi ialah semata-mata lapar dan dahaga sahaja. Imam Ghazali menamakan puasa umum kerana puasa kelas ini mungkin kebanyakan dilakukan oleh umat Islam yang daif iman.

Manakala puasa khusus, adalah merujuk darihal puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan hubungan kelamin pada siang hari tetapi mereka juga menjaga adab tertib berpuasa dan menahan seluruh anggota pancaindera daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan atau merosakkan amalan puasa. Puasa khusus adalah amalan puasa orang-orang salih samada mereka itu orang awam atau alim ulama. Secara lebih luas sifat puasa khusus ialah:

* Menahan penglihatan atau mengelakkan pandangan yang boleh mengganggu dan melalaikan hati mengingati Allah dan merosakkan keimanan;

* Mengawal lidah daripada membicarakan perkara-perkara keji dan sia-sia;

* Menjauhkan diri daripada mendengar perkara keji dan sia-sia;

* Menjauhi makanan syubahat dan haram ketika berbuka puasa;

* Mengelakkan banyak makan ketika berbuka supaya rezeki yang diperolehi itu tidak membazir; dan

* Malu kepada Allah kerana bimbangkan amalan puasa yang tidak dapat memenuhi harapan Allah atau tidak diterima Allah.

Puasa yang istimewa pula adalah merujuk darihal puasa yang bukan sahaja menahan lapar, perhubungan kelamin pada siang hari dan segala pancaindera melakukan perkara haram malah mengarahkan hati, fikiran, perasaan dan tingkah laku berpuasa untuk allah semata-mata tanpa sedikit pun memikirkan hal-hal keduniaan. Puasa istimewa ini adalah menjadi amalan para rasul dan nabi-nabi dan merupakan martabat puasa paling tinggi di sisi Allah.

Program bulan Ramadan merupakan agenda tahunan Allah untuk membersihkan jiwa dan melatih umat Islam dengan harapan pengajaran puasa akan menjadi budaya atau cara hidup yang mampu meningkatkan gaya hidup sihat bukan sahaja dalam bulan puasa tetapi juga dalam kehidupan seharian pada sepanjang tahun. Terdapat sebahagian umat Islam yang mengkelaskan mereka sebagai orang awam, maka mereka hanya mampu berpuasa pada martabat puasa umum.

Walaupun sebagai orang awam tidak termasuk dalam golongan ulama, tetapi mereka juga orang Islam yang menjadi kewajipan untuk berusaha menjadi umat islam yang beriman atau salih. Umat Islam tidak boleh terus kekal dalam keadaan yang kotor, daif dan melencung dari fitrah kerana Allah menganggap orang bersifat demikian sebagai seburuk-buruk haiwan (makhluk) yang hidup melata di atas muka bumi. Allah berfirman (bermaksud) ''Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan (makhluk) yang hidup melata di sisi Allah ialah orang kafir kerana mereka tidak mahu beriman (al-Anfal: 55).

IBADAT puasa jika diamalkan secara ikhlas dan penuh keimanan secara bersepadu dengan ibadat-ibadat khusus yang lain, maka sudah pasti kedudukan keimanan orang awam akan bertambah baik dan boleh mencapai tahap orang-orang yang salih. Dan inilah matlamat utama ibadat Islam sebagai usaha mengekalkan kesinambungan fitrah akhlak mulia manusia yang pada asalnya suci dan bersih. Kita yakin dan percaya bahawa berdasarkan pemerhatian, terdapat perkaitan yang kuat, mereka yang ikhlas mengamalkan puasa atau tinggi kualitinya serta terus kekal dalam keadaan fitrah maka mereka juga mempunyai kualiti yang tinggi dalam mengerjakan ibadat-ibadat yang lain.

Gaya hidup orang salih dalam bulan Ramadan melambangkan atau memberi gambaran bahawa kehidupan mereka di bulan yang lain pun sama juga seperti gaya hidup di bulan Ramadan. Pengajaran yang diperolehi dari pengalaman Ramadan itu, mereka terjemahkan dan menghayatnya dalam kehidupan seharian. Kesungguhan mereka beribadat kepada Allah adalah semata-mata untuk memenuhi seruan Allah. Allah berfirman (maksudnya): ''Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Ku (Azzariyat: 56). Manakala dalam ayat yang lain pula Allah berfirman (bermaksud): ''Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah syaitan.'' (Al-Baqarah: 208).

Isu utama yang dinyatakan dalam ayat-ayat tersebut ialah Allah mencipta manusia untuk menjadi khalifah Allah yang suci jiwanya dengan tujuan memakmurkan dunia mengikut syariat Allah sepenuhnya. Allah tidak mahu hanya dalam bulan Ramadan sahaja kelihatan umat Islam berduyun-duyun mengamalkan puasa dan taat mematuhi perintah allah, tetapi gaya hidup mereka di bulan-bulan yang lain pula, kembali mengikut jejak langkah perangai syaitan. Gaya hidup secara talam dua muka atau dua alam ini amat bercanggah dengan matlamat program Ramadan yang mahu umat Islam kekal dalam keadaan fitrah.

Anugerah Lailatulqadar yang dijanjikan Allah dalam bulan Ramadan merupakan satu peluang keemasan bagi orang salih memburu dan melipat gandakan amalan ibadat puasa walaupun ibadat khusus yang lain telah pun kuat. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah bersabda: (bermaksud) ''Barang siapa mengerjakan ibadat sembahyang pada malam Lailatulqadar kerana keimanan dan keikhlasan, di ampun baginya dosa-dosa yang telah lalu (Riwayat: Bukhari, Muzlim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Abu Daud).

Bagi orang salih, walaupun bilangan rakaat sembahyang Terawih menjadi khilaf ulama, ada yang memilih lapan rakaat atau dua puluh rakaat tetapi mereka berpegang kepada pendapat Khalifah Umar bahawa bilangan rakaat sembahyang sunat Terawih adalah dua puluh rakaat kerana pendapat ini adalah kukuh dan dipegang oleh sebahagian besar ulama. Tambahan pula ia selari dengan semangat Ramadan yang menghendaki amalan puasa dan malam Ramadan perlu dipenuhi dengan beribadat kepada Allah.

Satu lagi amalan orang salih dalam bulan Ramadan ialah memperhebatkan iktikaf di masjid atau di surau-surau yang dibenarkan mendirikan sembahyang fardu Jumaat. Nabi Muhammad sendiri pada sepuluh malam terakhir Ramadan telah melipatgandakan iktikaf dan amalan-amalan sunat yang lain seperti membaca al-Quran, berzikir, tarawih, bertahajud dan sebagainya dalam usaha memburu Anugerah Lailatulqadar, walau pun Rasulullah sendiri adalah istimewa di sisi Allah.

Setiap umat Islam yang berusaha keras mencari dan memburu mendapatkan rahmat Lailatulqadar mempunyai peluang baik memperolehinya. Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: ''Barang siapa menghidupkan Lailatulqadar, lalu mendapatkannya'' Riwayat: Muslim). Dari penjelasan hadis ini menunjukkan anugerah Lailatulqadar bukan untuk orang tertentu tetapi untuk mereka yang mengamalkan ibadat puasa dan malam Ramadan dengan penuh taat seperti membaca al-Quran,, berzikir, berdoa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya. Terdapat pelbagai pandangan diberi tentang tanda-tanda penemuan malam Lailatulqadar. Ada yang menyatakan matahari yang muncul pada waktu pagi keesokannya seperti suasana bulan purnama penuh, cahaya berseri dan tidak panas. Manakala pada waktu malam Lailatulqadar pula keadaannya suasana malam adalah hening dan tenang.

Kita yakin dan percaya berdasarkan keterangan al-Quran dan hadis bahawa terdapat perkaitan yang kuat anugerah rahmat lailatul Qadar adalah untuk umat Islam yang berjaya membersihkan diri sepenuhnya dimana mereka mempunyai kualiti puasa yang tinggi. Untuk mengekalkan prestasi kualiti puasa yang tinggi selama 29 atau 30 hari bukanlah perkara yang mudah.

Bagi orang Islam yang dhaif iman agak sukar untuk mengekalkann prestasi kualiti puasa selama 29 atau 30 hari kerana bukan tabiatnya berbuat demikian. Walhasilnya mereka yang berpeluang besar akan mendapat izin Allah mempereoleh rahmat anugerah Lailatulqadar ialah orang-orang salih yang bukan sahaja cemerlang dalam mengekalkan kualiti puasa tetapi mereka juga hebat dalam melaksanakan ibadat-ibadat yang lain.

1 comments:

Anonymous said...

Make your blog more visible...go to www.wisead.net , see ya!

Popular Posts

Ads

Penafian ( Disclaimer )

Laporan percuma yang pasti mengubah hidup anda dan bakal membebaskan anda dari terus menjadi 'HAMBA DUIT'!.
Jemput DOWNLOAD PERCUMA